Wednesday, June 12, 2013

Surat Dari Tanah Seberang



Salam Saudara....

Saya baru terjumpa blog saudara dalam pencarian blog penulisan militer yang aktif dari Indonesia. Saya kagum dengan perkembangan industri militer Indonesia terutamanya produk hasilan dari dalam negara Indonesia. Begitu juga dengan semangat nasionalisma rakyat Indonesia yang sangat kuat dan sentiasa berada dibelakang pihak pemerintah dalam urusan penambahbaikan atau modenisasi angkatan TNI.

Tetapi ada beberapa perkara yang sedikit dikesalkan berkenaan penulisan saudara. Dari senarai entri yang mendapat komentar hangat, kebanyakannya adalah berkenaan Malaysia. Apa yang saya dapati adalah saudara sering menyebut sikap arogansi(arrogant) pihak Malaysia dalam isu yang berkaitan kekuatan tentera.

Saya ingin bertanya saudara, bisakah saudara perjelaskan sikap arogasi itu berdasarkan apa? Penulisan blog? Komentator? Pencerobohan ruang udara/laut? Atau mana-mana sumber yang jelas menyatakan Malaysia umumnya mendabik dada dan memandang rendah kekuatan TNI.

Saudara, di Malaysia amat sedikit blog atau laman forum yang membicarakan soal militer. Setakat ini saya masih ragu dimana benarnya tuduhan saudara berkenaan arogansi negara kami yang kecil ini. Tidak mustahil ada sedikit yang bersifat keanak-anakan, tapi itu biasa.

Berbeda sekali dengan Indonesia dan komentar yang diberi sekiranya penulisan itu terkait isu Malaysia. Lihat saja penulisan saudara dalam entri Mengukur Nyali Malaysia. Kata saudara, isu penangkapan petugas KKP Indonesia dimegaphonekan media Malaysia. Beberapa lagi ayat saudara menyatakan Malaysia aggresif dan sentiasa mau tunjuk jago. Saya hairan sekali dengan kenyataan saudara. Pendekatan Malaysia berkenaan isu hubungan sesama tetangga amat pasif. Tindakan agresif berada ditempat terakhir sekali.

Sebagai contoh isu Lahad Datu. Malaysia sanggup berunding dengan tempoh masa panjang untuk mengelakkan pertumpahan darah walaupun pihak penceroboh bukanlah sebuah negara yang berdaulat dan memerlukan pematuhan garis panduan Geneva. lagi soal lanun Somalia di Teluk Aden. Bisa saja dibunuh sama PASKAL. Tapi semuanya ditangkap hidup dan dibicarakan di Mahkamah.

Kerna apa?  Mereka juga orang ISLAM.  Malang sekali peluang yang diberi kepada Sulu tidak dimanfaatkan untuk kesejahteraan bersama.  Mereka memilih untuk mati atas desakan dan dorongan dari 'tangan ghaib'. Benar,memang ada kelemahan dari segi risikan. Tapi saudara harus tahu,di Sabah sangat banyak warga Filipin yang keluar masuk dengan dua kerakyatan.

Berkenaan pembelian aset, setiap negara bisa saja membeli apa saja yang mampu dibayar. Jadi apa masalahnya? Kenapa harus sering saja menulis Malaysia ini arogan,melecehkan tetangga dan sebagainya. Barangkali saudara suka melihat penulisan saudara dikomentar begitu banyak oleh warga RI yang hatinya terbakar gara-gara penulisan saudara?

Di peringkat rakyat RI, segalanya panas jika melibatkan tentera. Harus saudara tahu, hubungan ATM dan TNI sangat baik dan bertuah sekali kedua-dua pemerintah tidak mudah melompat dengan isu-isu remeh.  Mahu mengakui atau tidak, kita serumpun. Seperti kata Saudara juga, negara serumpun tapi sering 'panas'. Di tulisan lain, saudara katakan tidak serumpun sama sekali.

Ingat saudara, negara kita sama-sama ISLAM. Banyak sekali pihak yang mahu kita perang, biar sama-sama lumpuh. Tapi mahukah begitu hanya kerana soal nasionalisma? Adakah bakal dinilai soal nasionalisma itu di hari kiamat nanti?

Saudara, saya juga berasal dari Indonesia iaitu Kalimantan. Separuh diri saya adalah Indonesia. Begitu juga dengan ramai lagi warga Malaysia yang berasal dari Indonesia. Tetapi kami tidak mudah diprovokasi soal remeh kekuatan tentara jiran. Mau beli apa? Ya udah, beli aja. Sama sekali tidak ganggu urusan harian kami.

Akhir kata, saya mohon saudara tidak menulis dengan menggambarkan jiran saudara ini suka memprovokasi. Fahami provokasi itu datang dari mana, barangkali dalam diri saudara sendiri. Saya tahu, segala yang ditulis adalah pendapat peribadi saudara, tetapi saudara lihat impaknya terhadap pembaca tulisan saudara. Siapa yang sebenarnya "megaphone'.

Sekian, pendapat peribadi saya, mewakili kebanyakan warga malaysia yang bertolak ansur dan menghormati jiran tetangga.

31 Mei 2013
Major Raidenovich <faizalrsd@gmail.com>
******
Jagvane / 12 Juni 2013
Catatan: 
Thanks atas imelnya, di posting di blog ini sebagai penghormatan atas nilai-nilai yang disampaikan.